Archive for July, 2010

July 2, 2010

Kenapa rakyat Malaysia kurang minat membaca?

I wrote this article in 2005 when I was doing my PhD. I decided to copy-paste it here because the contents are still relevant today.

English title: Why Malaysians have no interest in reading?

Saya tertarik untuk memberi pandangan saya selepas membaca artikel bertajuk “Dasar dikaji kurangkan kos buku” melalu Utusan Online pada 19 Mei 2005. Saya ingin memberi pandangan saya mengapa kurangnya minat membaca dikalangan rakyat Malaysia. Dengan mengetahu sebab-sebabnya, mungkin kita dapat memikirkan sama-sama cara-cara untuk meningkatkan minat membaca di kalangan rakyat Malaysia, terutamanya di kalangan remaja.

Saya pernah belajar di beberapa negara maju, termasuk A.S., Australia dan Jepun. Saya dapati, untuk menggalakkan budaya membaca, semua pihak perlu mengambil peranan.

Bukan hanya dengan mengurangkan harga buku, rakyat Malaysia akan berpusu-pusu ke kedai buku untuk membeli buku kerana harganya yang murah. Buku di negara barat tidak pula murah sangat.

Tapi memang saya akui, harga buku di Malaysia memang tidak berpatutan. Saya faham kenapa harga buku yang diimport dijual dengan harga yang begitu mahal, tapi saya sangat terperanjat bila melihat harga buku-buku tempatan juga tidak kurang mahalnya.

Cuba lihat sahaja harga buku yang terbaru diterbitkan berdasarkan pengalaman rakyat Malaysia kita yang menjelajah kutub selatan. Berapa keratkah rakyat Malaysia yang akan berpeluang membaca buku tersebut, dengan harga sebegitu? Tidakkah ianya berguna kepada pelajar-pelajar untuk menambah semangat mereka, untuk menjadi terbilang? Tepuk dada, tanya selera.

Beberapa faktor di bawah adalah mengundang kepada kurangnya minat membaca di kalangan rakyat Malaysia.

Faktor 1:

Kebanyakan kedai buku tempatan (kecil-kecilan), tidak kira di mana–stesen bas, di dalam Mall atau di tepi-tepi jalan–semuanya mengambil sikap menghalang pelanggan mereka daripada membaca buku atau majalah di kedai mereka.

Ada yang menampalkan amaran “Di larang membaca!”. Terutamanya jika pelanggan mereka adalah dari kalangan remaja, atau pelajar-pelajar sekolah. Mungkin pada anggapan mereka, pelanggan-pelanggan seperti ini tidak ada niat untuk membeli buku tersebut atau tidak mampu untuk membeli buku-buku atau majalah tersebut.

Kita perlu ingat, manusia belajar dari pengalaman. Kanak-kanak terutamanya akan lebih terpengaruh. Akibat di halau dari kedai buku seumpama itu, mereka akhirnya enggan untuk mengunjungi mana-mana kedai buku.

Jangan anggap perkara sebegini adalah remeh. Ianya salah satu faktor terbesar kenapa rakyat Malaysia tidak berjinak-jinak dengan buku. Di semua negara-negara maju, dari kedai seperti itulah remaja mula menjinakkan diri membelek buku dan akhirnya membeli kerana tertarik dengan apa yang mereka terbaca.

Kedai-kedai buku besar seperti Popular, Kinokuniya, MPH dan beberapa lagi, sebaliknya mengambil sikap yang berbeza. Mereka sebaliknya menyediakan tempat untuk pelanggan mereka duduk dan membaca. Sejak adanya kedai-kedai sebegini, saya kerap membeli buku-buku dan majalah.

Tetapi kebanyakan rakyat Malaysia yang tidak tinggal di bandar besar, mereka tidak berpeluang untuk mengunjungi kedai-kedai sebegini.

Faktor 2:

Perpustakaan di institusi-institusi pengajian tinggi di Malaysia kebanyakannya adalah tertutup kepada orang awam. Selalunya, hanya pelajar dan staff sahaja yang boleh menggunakan perpustakaan tersebut yang selalunya mempunyai koleksi buku yang begitu banyak.

Kerajaan membelanjakan wang yang begitu banyak untuk melengkapkan perpustakaan tersebut, tetapi kenapa hanya 1-2% sahaja rakyat yang layak menggunakannya? Ingin saya berkongsi pengalaman saya mengunjungi perpustakaan Universiti Malaya.

Setibanya di pintu masuk, saya perlu menggunakan kad ID untuk melepasi sistem keselamatan yang begitu canggih. Bila bertanyakan kepada pegawai keselamatan di situ, katanya saya perlu membayar sejumlah wang yang agak besar (tidak perlu saya nyatakan), hanya untuk memasuki perpustakaan tersebut kerana saya bukan pelajar atau staff Universiti Malaya.

Alangkah terkejutnya saya. Semasa belajar di negara barat, saya selalu mengunjungi perpustakaan di universiti-universiti lain, dan tidak pernah saya mengalami pengalaman seumpama itu.

Malah yang menyedihkan lagi, ianya berlaku di negara saya sendiri kepada rakyatnya sendiri.

Semoga dapat kita renungkan.

Daripada rakyat Malaysia yang minat membaca.
PS – Maafkan sekiranya Bahasa Malayu saya tidak begitu sempurna.